Ada kru mengadu sudah dua hari tidak menjamah makan, ada pula hanya mampu menyediakan mi segera buat keluarga bagi mengalas perut, lebih kasihan, ada yang mengadu dihalau rumah sewa kerana bayaran tertunggak

Post 303: Ada kru mengadu sudah dua hari tidak menjamah makan, ada pula hanya mampu menyediakan mi segera buat keluarga bagi mengalas perut, lebih kasihan, ada yang mengadu dihalau rumah sewa kerana bayaran tertunggak 

Nasib penggiat seni balik tabir tidak ubah seperti telur di hujung tanduk. Hampir tiga bulan punca pendapatan terhenti berikutan penularan wabak COVID-19. Kebanyakannya mereka sudah tidak mampu bertahan lagi  dan hanyamampu meluahkan kekecewaan tatkala melihat sektor lain kembali beroperasi sejak 4 Mei lalu, sedangkan nasib penggiat seni yang makan gaji hari dan bekerja secara kontrak langsung tidak dihiraukan.

Luahan itu dibuat pengarah popular, Rashid Sibir kerana bersimpati dengan nasib pekerja seni yang terjejas teruk akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebanyakannya bergelut meneruskan kelangsungan hidup. Penggiat seni bukan mahu meminta bantuan khas, mereka hanya minta kerajaan membenarkan warga seni kembali meneruskan penggambaran mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Ada kru mengadu sudah dua hari tidak menjamah makan. Ada pula hanya mampu menyediakan mi segera buat keluarga bagi mengalas perut kerana tiada sumber pendapatan. Lebih kasihan, ada yang mengadu dihalau rumah sewa kerana bayaran tertunggak selama beberapa bulan. Bagi kru masih bujang, mungkin boleh bertahan kerana tiada tanggungjawab kepada anak dan isteri. Sesetengahnya terpaksa meminjam wang daripada beberapa individu berbeza demi melangsaikan hutang rumah sewa kerana bimbang dihalau.

Rashid berkata, disebabkan itulah, dia merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk pekerja seni kembali meneruskan penggambaran kerana kesempitan hidup kian mendesak. Apabila sektor lain kembali beroperasi ia sedikit sebanyak menimbulkan kekecewaan, seolah-olah penggiat seni kreatif tak wujud. Bagi saya, tindakan kerajaan membenarkan orang awam mengunjungi pusat membeli-belah lebih berbahaya berbanding penggambaran. Di lokasi penggambaran, kru adalah orang yang sama. Kami tidak mempunyai kontak dengan orang luar.

Kami tidak kisah mengehadkan jumlah kru produksi. Jika kerajaan mengizinkan 20 orang dalam satu masa ketika ziarah Aidilfitri, tetapi kenapa kami tak boleh meneruskan kerja penggambaran dengan kru tidak melebihi jumlah berkenaan? Lagipun, sudah banyak produksi dan pelakon mempraktikkan patuh syariah. Untuk adegan pukul dan bersalaman, ia langsung tidak bersentuhan seperti dilihat di kaca TV. Jadi, tidak sukar kami menyesuaikan diri dengan norma baharu ini,” kata Rashid.

Kini, semua sudah kebuntuan memikirkan nasib selepas hampir tiga bulan tidak berkerja. Simpanan tinggi menggunung sekali pun, jika ditarah setiap hari pasti akan habis. Bayangkan, bagaimana nasib pekerja seni yang meraih pendapatan harian? Setidaknya, mereka boleh bekerja dan membuat persiapan raya jika kerajaan memberi kelonggaran dalam tempoh terdekat ini. Penggiat seni seni tiada caruman Skim Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan kebanyakannya, tidak layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Katanya, beberapa penggiat seni yang berkemampuan tak kira pengarah, penerbit dan pelakon ada mengumpul dana membantu kru produksi yang terjejas, tetapi banyak mana bantuan mampu dihulurkan.

Sumber: Berita Harian 14 Mei 2020

  1. Kupasan ini dibuat berdasarkan sumber media luar negara/ dalam negara yang diiktiraf. Pihak kami tidak bertanggungjawab atas pemahaman dan tafsiran individu lain yang membacanya. Sumber dan tarikh disediakan untuk memudahkan warganet merujuk sumber asal.
  2. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih

Leave a Comment