Fri. Sep 23rd, 2022

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan

Keberkesanan vaksin tidaklah 100%. Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

Bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semulajadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus tersebut, dan sembuh sepenuhnya dari jangkitan itu. Dalam proses tersebut, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang telah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semulajadi hasil dari jangkitan, tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan.

Vaksin menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun). Maka sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindakbalas yang berkesan bagi menyekat jangkitan tersebut atau mengurangkan keterukan gejalanya.

Tempoh perlindungan sesuatu vaksin berbeza-beza bergantung kepada jenis vaksin dan cara penghasilannya. Sesetengah vaksin memberi perlindungan sepanjang hayat, manakala terdapat vaksin yang boleh memberi perlindungan sehingga 30 tahun. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk memastikan perlindungan berterusan.

Sesetengah vaksin memberi perlindungan untuk tempoh terhad. Maka, dos tambahan (booster)  diperlukan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) dan memastikan antibodi pada paras yang tinggi. Sekiranya anak anda tidak mengambil dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan, mereka tidak akan dilindungi dengan berkesan.

Vaksin dihasilkan dari keseluruhan atau sebahagian virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Virus / bakteria tersebut tidak berupaya untuk menyebabkan penyakit kepada kanak-kanak yang sihat.

Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’.

Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ia berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria/virus tersebut. Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan. Tanggungjawab kita untuk melindungi mereka.

Sumber: Myhealth.Gov

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *