Mon. Sep 19th, 2022

Umum mengetahui Light membuka Pulau Pinang pada 1786. Walaubagaimanapun, Jenaton dan tiga lagi pemimpin ketika itu iaitu Muhammad Salleh atau Nakhoda nan Intan, Nakhoda Kechil dan Datuk Setia, yang juga adik ipar kepada Jenaton, didakwa membuka Batu Uban sekitar tahun 1730-an. Bukan Inggeris yang datang dahulu ke Pulau Pinang atau dikenali sebagai Tanjung pada waktu itu, sebaliknya Jenaton dan tiga nakhoda lain. Light adalah seorang nakhoda, mereka ini juga adalah nakhoda (empat peneroka awal Pulau Pinang) tetapi mengapa sejarah kita tidak mengiktiraf nakhoda itu.

Daripada catatan seorang pengembara Inggeris, James Lancaster, menyatakan Pulau Pinang sebelum tahun 1591 didapati tidak berpenghuni, dipenuhi pokok Pinang dan hanya sesekali sahaja dikunjungi anak raja dari Kedah untuk berkelah dan bermain.

Menurut Profesor Dr. Ahmad Murad Merican, seorang pensyarah dari Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, yang telah mengkaji sejarah pembukaan Pulau Pinang sejak akhir tahun 1990-an lagi, berkata seawal abad ke-18 beberapa kawasan di Pulau Pinang, termasuk Batu Uban dan Gelugor sudah diduduki orang Melayu. Katanya, pada awal 1700, Batu Uban dibuka sekumpulan orang Melayu berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera diketuai Mohamad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Intan, manakala di Gelugor pula kawasan seluas kira-kira 40 hektar diterokai Dato’ Jenatun ibni Raja Labu serta pengikutnya yang juga berasal dari Pagar Ruyong sejak tahun 1749. Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 40 hektar yang diterokai Dato’ Janatun di Gelugor itu adalah pemberian Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah ll. Bagi menghargai kurniaan Sultan Kedah itu, Dato’ Janatun menghadiahkan pula kepada baginda 10 buah naskah al-Quran bertulisan tangan yang dibawa dari Pagar Ruyong.

Dalam Journal Malayan Branch Royal Asiatic Society (Jambras) Jilid 7 keluaran 1929, ada catatan mengenai orang Melayu yang sudah membuka ribuan hektar tanah di Jelutong, Batu Lancang, Sungai Gelugor, Batu Uban, Sungai Dua dan Sungai Nibong sebagai tempat kediaman serta kawasan pertanian lama sebelum Francis Light tiba.Daripada hasil kajiannya, orang Melayu yang tinggal di Pulau Pinang sebelum tahun 1786 sudah membentuk institusi sosial yang lengkap dan mempunyai ketua serta golongan ulama yang bertindak sebagai pemimpin agama serta kerohanian yang berpusat di masjid.

Dengan bukti-bukti sejarah seperti buku, artikel dan salasilah, Ahmad Murad memberitahu, Dato’ Jenaton berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera, Indonesia, sebelum beliau berpindah pula ke Batu Bara yang juga terletak di Sumatera. Menurutnya, pasangan Dato’ Jenaton dengan isteri pertamanya, Ambun Suri dari Pagar Ruyung tidak dikurniakan anak. Apabila beliau berhijrah ke Baru Bara, Dato’ Jenaton berkahwin pula dengan Tuan Gadih atau Cik Puang, anak pembesar di sana dan dikurniakan seorang anak. Selepas berhijrah dan membuka Pulau Pinang pada tahun 1749, Dato’ Jenaton melalui perkahwinan ketiganya dengan seorang wanita berketurunan Arab-China, dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.Namun, satu perkara yang dikesalkan Ahmad Murad dan seorang lagi pengkaji sejarah Pulau Pinang serta salasilah Dato’ Jenaton, Fazil Shuhaimi Talib, nama isteri ketiga individu yang membuka Pulau Pinang seperti didakwa mereka itu sehingga kini masih belum ditemui. Namun beliau akan terus mengkaji dan mendapatkan nama isteri ketiga Dato Jenaton itu kerana beliau merupakan asal-usul keturunan Dato’ Jenaton di Malaysia, termasuklah Ahmad Murad dan Fazil sendiri yang merupakan sepupu merangkap waris generasi ke enam Dato’ Jenaton.

Pada tahun 2002, sebuah persatuan tidak berdaftar yang dinamakan Jawatankuasa Keluarga Dato’ Jenaton telah ditubuhkan. Salasilah keluarga ini juga mencatat beberapa nama besar waris Dato’ Jenaton seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail; dan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh. Rozali merupakan pengerusi jawatankuasa keluarga itu, sementara presidennya pula ialah Rahmah Abdul Aziz. Ahmad Murad serta Fazil merupakan Ahli Jawatankuasa persatuan berkenaan.

Pada bulan November 2008 yang lalu, seramai 30 orang daripada kira-kira 500 ahli persatuan itu di Malaysia telah ke Batu Bara untuk berjumpa dan bermesra dengan waris Dato’ Jenaton di sana. Waris-waris Dato’ Jenaton dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu juga berkesempatan melawat pusara, bangunan serta tinggalan yang mempunyai kaitan dengan individu itu atau warisnya. Di sana, perancangan perjalanan program lawatan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan wakil keluarga Dato’ Jenaton sebelah Indonesia, iaitu Bapak M. Yusuf Morna atau dikenali dengan panggilan Buyung. Fazil dan Buyung bertemu di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor secara serius pada tahun 2005 selepas Fazil beberapa kali melawat Sumatera untuk mencari waris Dato’ Jenaton di sana.“Setelah kami diperkenalkan melalui seorang kawan, saya dengan Fazil pada awalnya bertengkar membincangkan identiti Dato’ Jenaton. Ini kerana kajian kami (waris Jenaton di Indonesia) mendapati individu yang dimaksudkan bernama Jenan dan bukannya Jenaton seperti didakwa Fazil. Namun kami akhirnya sepakat bahawa individu yang dicari adalah orang yang sama,” jelas Buyung.

Sewaktu rombongan keluarga Dato’ Jenaton dari Malaysia melawat ke Batu Bara, Medan, Indonesia, kumpulan ini turut disambut serta dipertemukan dengan Bupati (Pegawai Daerah) Batu Bara, Orang Kaya Arya Zulkarnain dan Ahli Parlimennya, Drs. Syarkowi Hamid. Menariknya, kedua-dua pembesar daerah yang terletak kira-kira 150 kilometer dari ibu negeri Sumatera Utara, Medan itu juga mendakwa mereka merupakan keturunan Dato’ Jenaton di Indonesia.”Berdasarkan salasilah, catatan dan bukti lain yang dikemukakan, saya isytihar dan akui keluarga Dato’ Jenaton dari Indonesia dan Malaysia adalah daripada ‘moyang’ yang sama. Saya juga percaya melalui perbualan dengan Prof. Murad, Jenaton yang dahulu tiba dan membuka Pulau Pinang,” ujar Arya. Menurutnya lagi, penemuan bukti sejarah itu diharap dapat mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia amnya.

Bagi Ahmad Murad dan Fazil serta seluruh waris Jenaton di sini, sejarah Pulau Pinang yang menyebut ia dibuka oleh Francis Light adalah tidak benar serta memperkecilkan peranan kaum Melayu Nusantara dalam pemerintahan kerajaan tradisional dan moden. Justeru itu, Ahmad Murad meminta kerajaan membantu menyediakan dana untuk kerja-kerja mengumpulkan bukti serta hal berkaitan. Katanya, bukti kukuh mengenai pembukaan Pulau Pinang oleh Dato’ Jenaton ialah pusara individu tersebut bersama adiknya, Setia yang terletak di Persiaran Minden 1, Pulau Pinang iaitu di belakang premis Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mendakwa, kubur luas itu menandakan Dato’ Jenaton sebagai seorang pembesar di situ pada masa lalu serta disemadikan di tanah yang dianugerahkan kepadanya oleh Sultan Kedah dahulu.”Kini, sejarah pembukaan Pulau Pinang perlu diubah dengan menyebut pembuka asal pulau iaitu Dato’ Jenaton sebelum kedatangan Light. Ini penting kerana kebelakangan ini beberapa pihak yang tidak memahami dan malas mengkaji sejarah mengatakan orang Melayu juga adalah pendatang di negara ini. Ini yang perlu diperbetul,” katanya. Ketibaan Francis Light sendiri yang mendarat di Tanjung Penaga (sekarang Kota Cornwallis) pada 11 Ogos 1786 telah disambut oleh pengikut Datuk Jannaton. Buktinya, sebelum Francis Light sampai, telah terdapat petempatan Melayu dan kubur lama di sekitar Batu Uban.

Bagaimanapun, menurut seorang pensyarah lain dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mahani Musa, yang telah menjalankan kajian sejarah Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu menemui satu jurnal karangan seorang pengkaji Inggeris yang ditulis pada tahun 1795, Menurut catatan jurnal tersebut, Pulau Pinang telah dibuka olah seorang ilmuan Islam dari Acheh bergelar Dato’ Keramat pada 1705 dan membuka perkampungan Melayu di Datuk Keramat yang diambil sempena nama ilmuan Aceh tersebut. Malah catatan Francis Light sendiri menyatakan bahawa selepas empat hari beliau mendarat di Pulau Pinang, terdapat 30 penduduk Melayu yang memanggil tempat ini sebagai Tanjung Penaga. Menurut Dr. Mahani, kajian secara terperinci perlu dilakukan bagi memperbetulkan tanggapan umum setelah ada penyelidik sejarah berjaya membuktikan bahawa Pulau Pinang sudah pun diterokai oleh orang Melayu sebelum kedatangan Francis Light.

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *