Kami rayu, kami penggiat seni nak shooting

Post 293: Kami rayu, kami penggiat seni nak shooting

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London dalam laman Facebook (FB) miliknya, semalam merayu  “Kami penggiat seni nak ‘shooting’, minggu ini. Kami bersedia dan akur pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada. Mohon kelulusan. Penggambaran dalam bangunan dengan jumlah kru produksi kurang daripada lima orang patut dibenarkan. Produksi filem dan televisyen agak sukar nak kawal penggambaran berskala besar, walaupun ada kawalan serta pemantauan rapi,”.

Hantaran berkenaan ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara susulan kelonggaran diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu.

Beliau berkata, anggaran 50 syarikat penerbitan mengemukakan permohonan penggambaran filem, iklan dan program televisyen setiap bulan, sebelum PKP dikuat kuasa. Syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menangguhkan kerja penerbitan berikutan tempoh PKP dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan pekerja termasuk ahli FDAM yang kebanyakannya pengarah sambilan tanpa pendapatan tetap.

FDAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah melancarkan tabung bantuan bagi meringankan beban ahli, baru-baru ini. Hampir 100 ahli kami yang kritikal menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200 seorang. FDAM yang ditubuhkan pada 1990 kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli. FDAM sentiasa menerima maklum balas dan keluhan ahli yang tidak dapat meneruskan tugas dan menjejaskan mata pencarian mereka. Malah, ada antara mereka terpaksa membuat kerja lain seperti jualan makanan dalam talian untuk menampung hidup.

Sumber: Bernama & Berita Harian 12 Mei 2020

  1. Kupasan ini dibuat berdasarkan sumber media luar negara/ dalam negara yang diiktiraf. Pihak kami tidak bertanggungjawab atas pemahaman dan tafsiran individu lain yang membacanya. Sumber dan tarikh disediakan untuk memudahkan warganet merujuk sumber asal.
  2. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih

Leave a Comment