Sun. Dec 4th, 2022

Iman dari sudut bahasa bermaksud “Kepercayaan”. Manakala dari sudut syaraknya pula bererti “Membenarkan dalam hati, mengakui dengan perkataan dan mengamalkan dengan rukun-rukunnya.”

  • Percaya kepada Allah SWT

Percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT itu “ADA” dan mempunyai kekuasaan dan kesempurnaan.

Allah SWT yang menjadikan tiap-tiap sesuatu, di langit mahupun bumi. Allah SWT adalah tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh dipersekutukan. Allah SWT menciptakan manusia, jin, malaikat, langit, bumi, bulan, bintang, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air dan lain-lain.

Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, tempat kembali dan berserah segala makhluk. Kesemua kejadian, perubahan adalah dengan Qudrat (berkuasa) dan Iradat (KehendakNya). Ia adalah Tuhan Yang Maha Suci dari segala sifat kelemahan dan kekurangan.

Ia juga yang menghidupkan dan mematikan serta memberi rezeki kepada sekalian makhlukNya. Ia tidak tidur, tidak mempunyai isteri dan anak dan sentiasa mengetahui, mendengar dan melihat.

  • Percaya kepada Malaikat-Malaikat

Percaya dengan penuh yakin bahawa Malaikat itu ada. Mereka itu makhluk yang halus, yang dijadikan Allah SWT daripada cahaya. Mereka bukan lelaki, bukan perempuan dan bukan khunsa. Mereka hanya menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak mempunyai nafsu seperti manusia.

Malaikat-malaikat yang termaktub didalam Al-Quran yang wajib kita percaya ialah 10.

  • Percaya kepada Kitab-Kitab

Percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT telah menurunkan beberapa kitab suci kepada Rasul-rasul-Nya. Kitab-kitab yang wajib kita percaya ialah 4 buah iaitu, Kitab Taurat, Kitab Zabur, Kitab Injil dan Kitab Al-Quran.

  • Percaya kepada Rasul-Rasul

Percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT telah mengutuskan beberapa orang Rasul untuk memimpin manusia ke jalan yang benar dan hidup bahagia di dunia dan akhirat.

  • Percaya kepada Hari Qiamat (Akhirat)

Percaya dengan penuh yakin bahawa dunia ini akan rosak dan binasa. Semua manusia akan dibangkitkan semula untuk menerima pembalasan yang mahal adil dari Allah SWT. Tidak ada seorang pun manusia yang akan mengetahui bila berlakunya Qiamat, melainkan Allah sahaja

  • Percaya kepada Qada dan Qadar (untung baik dan untung jahat) ditentukan oleh Allah SWT

Percaya dengan penuh yakin bahawa apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku adalah menurut apa yang telah ditetapkan dan ditentukan oleh Allah SWT.

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published.