Kedah bakal beralih pemerintahan kerajaan baharu

Post 294: Kedah bakal beralih pemerintahan kerajaan baharu

Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas memperolehi bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencukupi hari ini. Jumlah 19 kerusi DUN Kedah itu sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu yang bakal menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hilang majoriti.

Sumber memaklumkan, dua ADUN dari PKR iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dijadual mengadakan satu sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri DUN Sidam, tengah hari ini. Ia kemudian diikuti sidang media PN pada jam 3 petang ini, yang dijangka disertai pimpinan PAS dan UMNO Kedah bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Sidang media itu dijangka bagi mengumumkan kedudukan mereka di dalam kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Minggu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah dan tambahan dua kerusi PKR menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 19 kerusi. Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (tujuh), BERSATU (enam), Parti Amanah Negara (empat), DAP (dua) dan UMNO (dua).

Sumber: Berita Harian 12 Mei 2020

  1. Kupasan ini dibuat berdasarkan sumber media luar negara/ dalam negara yang diiktiraf. Pihak kami tidak bertanggungjawab atas pemahaman dan tafsiran individu lain yang membacanya. Sumber dan tarikh disediakan untuk memudahkan warganet merujuk sumber asal.
  2. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih

Leave a Comment