Mon. May 16th, 2022

Pesakit yang ditempatkan di ICU sememangnya kritikal, sebagai satu cara merawat dengan ditidurkan untuk memberikan bantuan pernafasan. Tidak semua pesakit COVID-19 ‘ditidurkan’ kerana banyak kriteria diambil perhatian, sebelum pakar buis memutuskan tindakan lanjut dalam memberikan rawatan.

Pesakit COVID-19 ini boleh dikategorikan kepada kategori satu hingga lima. Kategori satu bagi pesakit tidak bergejala, dua yang mempunyai gejala, ketiga ada gejala dan jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia. Kategori keempat yang menghidap pneumonia teruk dan memerlukan oksigen. Kategori lima, pesakit kritikal yang mengalami kegagalan organ.

Pesakit yang diberikan bius untuk koma atau ditidurkan adalah pesakit COVID-19 kategori empat atau lima, apabila mereka mengalami kegagalan pelbagai organ seperti kegagalan paru-paru yang teruk dan tidak boleh mencapai tahap oksigen yang cukup, kegagalan jantung atau buah pinggang.

Untuk menentukan pesakit kategori empat dan lima dibius untuk koma ialah apabila tahap oksigen pesakit rendah dan mengalami kegagalan pernafasan atau ‘respiratory failure’. Ini berlaku apabila tahap oksigen di dalam darah sangat rendah, kurang dari 92 peratus (walaupun sudah diberi bantuan oksigen), tahap karbon dioksida di dalam sangat tinggi atau pesakit tercungap-cungap dan kepenatan berikutan kadar pernafasan pesakit terlalu tinggi.

Jika tidak diberi sebarang bantuan pernafasan, penurunan oksigen akan berlaku dengan cepat, hingga pesakit boleh mengalami komplikasi dan mengakibatkan kesan yang buruk kepada pesakit. Kadar ideal oksigen di dalam badan adalah melebihi 95 peratus.

COVID-19 lebih berbahaya kepada golongan berusia, penghidap obesiti, perokok, pesakit paru-paru kronik, pesakit diabetes, jantung dan pesakit ada penyakit kronik lain. Pesakit mendapat bekalan oksigen yang rendah (hypoxia) boleh mengakibatkan kegagalan organ misalnya, otak yang gagal berfungsi atau dipanggil ‘hypoxic ischaemic encephalopathy’.

Jika tidak memastikan oksigen sampai ke otak secepat mungkin kerana oksigen dalam keadaan rendah. Ia boleh menyebabkan kepenatan dan lama-kelamaan pesakit akan berhenti bernafas. Pesakit mungkin boleh meninggal dunia, jika tidak berbuat apa-apa.

Pada saat kritikal pesakit perlu ditidurkan dan diintubasi. Ia ditidurkan semasa pesakit dimasukkan tiub pernafasan ke saluran trakeanya. Tiub pernafasan yang berada dalam saluran trakea adalah menyakitkan. Jika tidak ditidurkan, pesakit tidak selesa dan akan melawan proses ventilasi, ini menyebabkan trauma kepada paru-paru.

Prosedur pesakit ditidurkan, ia perlu dilakukan berhati-hati, berikutan badan pesakit COVID-19 tidak mempunyai banyak ‘reserve’ terutama organ penting seperti jantung dan paru-paru sudah mulai gagal dan kurang berfungsi akibat jangkitan COVID-19. Kuman COVID-19 yang memasuki badan akan mengakibatkan pelbagai reaksi di dalam badan seperti ‘Acute Respiratory Distress Syndrome’, ‘septic shock’ iaitu apabila kuman sudah terlalu banyak dalam badan dan keradangan teruk, terutama pada organ penting seperti jantung, buah pinggang dan otak.

Tahap keterukan ini bergantung kepada ‘viral load’, di samping jujukan (strain) yang mempunyai kesan berbeza. Dalam virus COVID-19 ini badan akan berinteraksi melawan hingga tidak dapat membezakan antara kuman dan sel, sekali gus ia merosakkan badan. Keadaan akan bertambah buruk, jika pesakit ada penyakit kronik, diabetes, masalah buah pinggang, paru-paru, hipertensi, obesiti dan lain-lain.

Sumber: Berita Harian

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *