Kes bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah disambung Jun depan

Post 304: Kes bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah disambung Jun depan

Prosiding bela diri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam tragedi kebakaran tiga tahun lalu, akan bersambung pada 11 dan 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi di sini. Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak mahkamah menerusi e-mail yang dihantar pada 12 Mei lalu.

Pada 28 Januari lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan berkenaan, manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membeli diri atas pertuduhan sama. Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengikut Seksyen 94 akta sama juga mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu namun telah dilapangkan. Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku kira-kira 5.15 pagi itu, menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.

Sumber: Berita Harian dan BERNAMA 14 Mei 2020

  1. Kupasan ini dibuat berdasarkan sumber media luar negara/ dalam negara yang diiktiraf. Pihak kami tidak bertanggungjawab atas pemahaman dan tafsiran individu lain yang membacanya. Sumber dan tarikh disediakan untuk memudahkan warganet merujuk sumber asal.
  2. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih

Leave a Comment