Mon. Sep 19th, 2022

Ibn Khaldūn mencipta nama sebagai pemikir ulung dalam dunia intelektual Islam melalui penghasilan karya tersohornya al-Muqaddimah yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang keilmuan Islam, khususnya merintis kajian ketamadunan sehingga ketokohannya turut diakui oleh sarjana Barat. Meskipun dijulang sebagai seorang cendekiawan Islam terkemuka, Ibn Khaldūn tidak terlepas daripada kritikan-kritikan yang mendakwa beliau membawa pemikiran yang menjurus kepada ciri-ciri sekular dalam penulisannya. Justeru artikel ini bertujuan mengkaji pemikiran Ibn Khaldūn dalam al-Muqaddimah yang berkaitan dengan kejatuhan sesebuah pemerintahan di samping penumpuan kepada aspek keadilan dan kezaliman pemerintah.

Ibn Khaldūn sendiri pernah terlibat dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan. Perkara ini dapat dilihat menerusi perkhidmatannya terhadap Sultan Mesir iaitu Sultan Barbuq ketika usia belasan tahun lagi. Penglibatan beliau dalam politik tidak terhad di negara Mesir sahaja, bahkan beliau pernah berkhidmat dalam pentadbiran politik negara di Tunisia, Maghribi dan Andalus. Suasana politik ketika kemunculan Ibn Khaldūn berada dalam keadaan yang bergolak. Masyarakatnya berhadapan dengan peperangan demi peperangan, komplot-komplot untuk menjatuhkan pemerintah dan pertukaran dinasti pemerintahan secara silih berganti. Keadaan ini menyebabkan kerjaya politik beliau agak tidak menentu. Khidmat beliau sering bertukar ganti dari satu kuasa pemerintahan kepada yang lain. Karier politik yang dipenuhi dengan jatuh bangun ini memberi peluang kepada Ibn Khaldūn menganalisis peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

Ibn Khaldūn dalam perbincangannya mengenai peringkat peringkat perkembangan peradaban dalam karyanya al-Muqaddimah didapati menyentuh mengenai kitaran pemerintahan. Menurut Ibn Khaldūn, pada peringkat pertama kelahiran sesebuah peradaban, iaitu sejurus selepas berlaku peralihan kuasa daripada tampuk pemerintahan sebelumnya, pemerintah menjadi contoh dan teladan kepada rakyat. Selain bersikap adil dan saksama dalam mempertahankan hak milik rakyatnya, pemerintah juga akan cuba menyesuaikan diri dengan sentimen dan kehendak rakyat serta berkongsi kuasa dengan mereka. Hasilnya, semangat ‘aṣabiyyah yang telah diterjemahkan kepada beberapa istilah, seperti „semangat kekitaan‟, esprit de corps, social solidarity dan group feeling dalam kalangan rakyat sangat kuat pada peringkat ini. Pendek kata, wujud hubungan timbal balik yang harmoni antara pemerintah dan juga rakyat. Apa yang disuarakan oleh Ibn Khaldūn mengenai keadilan pemerintah sebagai tonggak keharmonian negara adalah selaras dengan nas daripada al-Qur‟an dalam surah al-Nisā‟ ayat 58 yang secara umumnya menyeru kepada keadilan iaitu ayat yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada manusia dan apabila kamu berhukum maka hendaklah kamu menghukum dengan seadil-adilnya.”

Ibn Kathīr mentafsirkan adil dalam ayat ini sebagai bermaksud mewujudkan kesamaan dan keseimbangan antara hak dan kewajipan dalam erti kata hak yang tidak boleh dikurangi disebabkan adanya kewajipan. Kezaliman lawan kepada keadilan wajib dijauhi. Hamka turut mengemukakan tafsiran yang hampir menyamai tafsiran Ibn Kathīr, namun membawakannya dalam bentuk yang lebih terperinci iaitu sebagai menimbang sama berat, menyalahkan yang salah, membenarkan yang benar, mengembalikan hak kepada yang empunya dan jangan berlaku zalim aniaya. Adil lawannya zalim.

Menurut Hamka lagi, ayat ini wajib dipegang oleh para penguasa yang memiliki kekuasaan memerintah urusan umat Islam. Para pemerintah dituntut melaksanakan dua dasar penting pemerintahan iaitu menyerahkan amanah kepada ahlinya dan menegakkan keadilan. Nurdin Zainal berpandangan ayat al-Qur‟an mengenai keadilan ini merangkumi makna yang luas dan meliputi pelbagai aspek termasuklah kepimpinan. Dalam konteks kepimpinan, keadilan yang diperintahkan oleh Allah kepada pemerintah di bumi ini adalah keadilan yang seimbang dalam erti kata keadilan yang dapat melahirkan kemaslahatan masyarakat sehingga dapat mencapai kemajuan.

Selanjutnya, selepas melalui fasa pemerintahan yang adil dan saksama, berlaku perubahan terhadap pendekatan pemerintah dalam erti kata pemerintah berusaha untuk memonopoli kuasa dan menubuhkan kuasa mutlak mereka. Pemantauan rapi dilakukan agar tidak berlaku sebarang rampasan kuasa atau penglibatan diri dalam pemerintahan kerajaan daripada pihak musuh ataupun saudara mara sendiri. Pada peringkat ini, pemerintahan bercorak kuku besi mengambil tempat dan ternyata berjaya menewaskan musuh-musuhnya. Kekuatan semangat ‘asabiyyah pada peringkat ini mula mempamerkan tanda-tanda awal kegoyahan

Menurut Ibn Khaldūn, apabila pemerintah berjaya memonopoli kuasa dan dibelenggu dengan ketamakan terhadap kuasa, negara memasuki peringkat kemewahan dan kesenangan. Berikutan itu, pemerintah memperkenalkan sistem cukai bagi menampung perbelanjaan negara yang semakin meningkat. Pendapatan yang meningkat membolehkannya berbelanja dengan boros. Golongan pemerintah dan rakyat mula mengubah cara hidup kepada bermewah-mewah. Peringkat ini merupakan masa untuk memuaskan kehendak nafsu.

Pada peringkat seterusnya, Ibn Khaldūn berpandangan pemerintah berpuas hati dengan apa-apa yang telah dibina oleh pemerintah terdahulu apabila negara atau peradaban memasuki fasa keamanan dan kedamaian. Beliau meniru gaya hidup pemerintah sebelumnya untuk menikmati kesenangan hidup, melupai perjuangan dan susah payah yang dilalui untuk menikmati keadaan damai tersebut. Pemerintah juga berpuas hati dengan apa yang telah dicapai dan percaya bahawa kemewahan hidup dan peradaban yang terbentuk tanpa memerlukan usaha yang gigih. Namun apabila kemewahan sampai ke peringkat kemuncak, menurut Ibn Khaldūn akan berlaku pembaziran dan pemborosan. Hasil mahsul negara digunakan untuk tujuan keseronokan dan hiburan. Senario ini akan merosakkan masyarakat, melemahkan fizikal dan mengakibatkan keruntuhan moral.

Keadaan ini bertambah buruk apabila pemerintahan kerajaan dikendalikan oleh para pegawai yang tidak berkebolehan dan berkeperibadian buruk. Para pengikut pemerintah sebelumnya yang berkelayakan dipinggirkan daripada tampuk pemerintahan. Tindakan ini mengakibatkan timbul perasaan benci dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat serta mendorong mereka untuk tidak memberikan sokongan kepada pemerintah yang baru. Pada peringkat ini pemerintah juga sering mengabaikan hal ehwal pentadbiran negara, mengenakan cukai yang melampaui batas dan tidak membayar gaji kepada golongan tentera. Semangat ‘aṣabiyyah yang dipupuk pada peringkat awal telah hilang peranannya. Pada peringkat ini, sesebuah peradaban dilanda penyakit yang begitu kronik dan tidak dapat dirawati lagi. Lantas, peradaban menjadi mangsa keganasan dalaman dan luaran. Kemusnahan melanda peradaban tersebut dan akan digantikan dengan sebuah peradaban baru.

Ibn Khaldūn mengetengahkan idea bahawa sesebuah pemerintahan atau peradaban tidak akan runtuh atau mati secara mengejut, bahkan proses berkenaan akan berlaku secara beransur-ansur. Dengan kata lain, sesebuah negara secara semula jadi membawa bersama-samanya benihbenih kemusnahan sendiri semenjak detik awal kelahirannya.

Sumber: Ejournal UM

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *