Sat. Sep 24th, 2022

Amalan ‘pendinding’ merupakan suatu fenomena yang sudah lama berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Hal ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan terhadap amalan tersebut yang sudah sebati dalam diri mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 353), ‘pendinding’ membawa maksud penutup, penyekat, penghalang, pelindung; doa untuk melindungi diri daripada mara bahaya. Pengertian ini selaras dengan kepercayaan masyarakat Melayu yang meyakini bahawa ‘pendinding’ merupakan penyekat sesuatu unsur jahat yang mampu melindungi diri mereka daripada kejahatan atau musibah.

Walau bagaimanapun, ‘pendinding’ yang diamalkan selain daripada bacaan al-Quran seperti menggunakan azimat atau tangkal adalah termasuk dalam amalan berbentuk khurafat. Pada kebiasaannya, ‘pendinding’ rumah terdiri daripada tangkal dan azimat yang telah dijampi oleh bomoh. Tangkal merupakan salah satu bentuk azimat untuk dipakai misalnya gelang tangan yang diperbuat daripada benang atau sejenis benda seperti ekor pari yang diletakkan di tempat-tempat tertentu di dalam rumah dengan maksud dan kepercayaan bahawa tangkal tersebut akan dapat melindungi diri dan harta benda daripada gangguan syaitan, jin atau makhluk halus.

Manakala azimat ialah sebarang benda atau objek yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, dan sebagainya yang dipercayai dapat mencegah daripada terjadinya musibah ke atas diri, keluarga dan harta benda. Pengamal juga meyakini azimat memiliki suatu sumber kekuatan ghaib.

Hal ini dijelaskan oleh Malik Faisal (2010: 399): Azimat adalah benda mengandungi bentuk dan tulisan yang jelas mensyirikkan Allah serta menghina ayat al-Qur’an. Azimat terdiri dari pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk tulisan di atas kertas, kain dan kulit binatan.

Tegasnya, terdapat pelbagai jenis ‘pendinding’ yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu sama ada terdiri daripada potongan ayat-ayat alQuran, menggantung atau menyimpan imej sesuatu atau seseorang yang dianggap warak, atau berupa suatu objek seperti azimat dan tangkal yang telah dijampi oleh bomoh. Amalan ini masih lagi dipegang oleh sesetengah masyarakat Melayu yang beragama Islam kerana kejahilan atau kurangnya kefahaman mereka tentang ilmu agama selain kerapuhan iman dan terpedaya dengan pujukan hawa nafsu. Di samping itu, masyarakat Melayu amat berpegang teguh dengan kepercayaan yang telah diwarisi daripada nenek moyang mereka dan berasa amalan ini perlu diteruskan bagi mengambil berkat selain mempercayai keberlangsungan tradisi ‘pendinding’ akan dapat memelihara diri dan keluarga daripada beberapa faktor tertentu.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Isra’, ayat 82: Tafsirnya: Dan kami turunkan daripada Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (Al-Qur’an itu) hanya akan menambah kerugian (al-Qur’anul Kareem Rasm Uthmani & Terjemahannya 2012: 290).

Berdasarkan firman di atas, jelaslah bahawa di dalam al-Quran mengandungi segala macam penawar dan rahmat termasuklah ‘pendinding’ bagi mereka yang beriman. Manfaat ayat suci al-Quran inilah yang harus sentiasa diamalkan bagi melindungi diri daripada bahaya dan kejahatan. Namun begitu kebanyakan masyarakat Islam, khususnya bangsa Melayu sering pula menyalahgunakan penggunaan ayat-ayat al-Quran dengan menulisnya pada sesuatu objek tertentu atau membacakan pada benda semacam tangkal lalu timbul kepercayaan berasa diri dilindungi oleh objek atau tangkal tersebut.

Sumber: International Journal of the Malay World and Civilisation (UKM) (NOR RAFIDAH HJ MOKHTAR & MOHD NIZAM SAHAD)

Thenang My
Facebook : https://web.facebook.com/ThenangMy/
Telegram: https://t.me/komplotthenangco
Instagram: Thenang.co

Ruangan Iklan 
Tak tahu trade forex, mari kami bantu. Copytrade forex : https://t.me/Mfcopytradefb

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *