Fri. May 20th, 2022

Hari ini 480 tahun yang lalu, Uthmaniyah pimpinan Sultan Suleiman Yang Agung berjaya menakluk kota Buda, Hungary.  Selepas Pertempuran Mohacs 1526, sebahagian besar Hungary berada di bawah naungan Empayar Uthmaniyah. Namun Raja Hungary, John I Zapolya menerima tekanan supaya tunduk kepada Kerajaan Habsburg pimpinan Archduke Austria, Ferdinand I.

Akhirnya John I dipaksa membuat satu perjanjian sulit di Nagyvarad pada 1538, yang memperuntukkan pengukuhan kedudukan John I sebagai Raja Hungary dengan Ferdinand dinamakan sebagai pewaris takhta Hungary.

Perjanjian itu dibuat Ferdinand menyangkakan John I, yang ketika itu sudah berusia 50-an, akan membujang hingga akhir hayat. Namun pada 1539, John I mengahwini Puteri Isabella dari Poland & dikurniakan anak bernama John II Sigismund Zapolya.

Apabila John II yang masih kecil ditabal sebagai Raja Hungary yang baharu, Ferdinand melancarkan kempen menakluk Hungary. Dibentuk angkatan seramai 40,000 tentera, menawan satu demi satu kota kecil sehingga sampai ke Buda pada 3 Mei 1541.

Sebagai respon, Sultan Suleiman mempersiapkan sekitar 50,000 bala tentera & mara ke Buda yang telah dikepung oleh tentera Habsburg. Kumpulan pertama angkatan Uthmaniyah tiba pada 10 Julai & mula melancarkan serangan.

Beberapa siri serangan berskala kecil melemahkan barisan Habsburg sebelum seluruh ketumbukan tentera Uthmaniyah melanggar mereka pada 20 Ogos. Akhirnya tentera Habsburg berundur selepas kehilangan sekitar 20,000 tenteranya.

Keesokan malamnya, Sultan Suleiman menjemput John II, ibunya Isabella & para pembesar Hungary ke khemahnya untuk meraikan kemenangan mereka. Dalam suasana keraian, tentera Uthmaniyah juga bebas masuk & melawat kota Buda.

Rupanya ia adalah satu muslihat daripada Sulaiman, apabila sedikit demi sedikit tentera Uthmaniyah menyusup masuk ke dalam kota, menawan pos-pos kawalan sekaligus menguasai seluruh kota itu. Hungary akhirnya menjadi milik penuh Uthmaniyah.

Ia merupakan kemenangan terpenting Sultan Suleiman ke atas Habsburg, titik permulaan penguasaan Uthmaniyah di bumi Hungary selama 150 tahun.

Sumber: On This Day, Youtube/Kings and Generals/ Astro Awani

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *