Persidangan Parlimen bakal  diadakan selama sehari pada 18 Mei ini

Post 300: Persidangan Parlimen bakal  diadakan selama sehari pada 18 Mei ini

Persidangan Parlimen bakal  diadakan selama sehari pada 18 Mei dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Persiapan rapi bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Isnin lancar dan bebas COVID-19 giat dilakukan oleh pihak pengurusan Parlimen dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan.

Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Kamis Samin, berkata bagi memastikan parlimen bebas daripada virus COVID-19, semua Ahli Dewan Rakyat dan Senator serta mereka yang bertugas pada hari itu perlu menjalani saringan COVID-19. Enggan mengambil mudah dan tidak mahu menanggung sebarang risiko penularan wabak itu, pengurusan Parlimen mengambil tindakan sewajarnya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun persidangan kedua-dua dewan itu hanya akan berlangsung sehari.

Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pula, mereka akan menjalani saringan esok dan Jumaat. Ini bagi memastikan semua yang terbabit dengan persidangan itu bebas jangkitan virus kerana kita tidak mahu tercetusnya kluster Parlimen. Saringan oleh petugas kesihatan KKM yang dijalankan hari ini membabitkan kakitangan Parlimen, kontraktor dan petugas pembersihan serta petugas media yang akan bertugas pada hari persidangan Isnin ini.

Bagi memastikan persekitaran bangunan Parlimen bersih daripada COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menjalankan proses nyahkuman di kawasan bangunan utama Parlimen Ahad ini dan selepas persidangan selesai. Selain ujian saringan COVID-19, SOP lain juga akan dipatuhi antaranya mengimbas suhu badan semua yang akan memasuki bangunan itu, menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu utama selain pelitup separuh muka untuk ahli dewan rakyat dan senator.

Pihak pengurusan Parlimen bekerjasama rapat dengan KKM bagi memastikan keperluan dari segi kawalan pencegahan untuk memastikan keselamatan ketika sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berlangsung. Tempat duduk sedang disusun bagi memastikan jarak sosial ketika persidangan termasuk menggunakan tempat yang biasanya digunakan oleh pegawai kerajaan, jemputan dan pegawai pengiring. Kami akan pastikan semua ahli dewan dapat masuk bersidang mengikut SOP ditetapkan.

Sumber: Berita Harian 13 Mei 2020

  1. Kupasan ini dibuat berdasarkan sumber media luar negara/ dalam negara yang diiktiraf. Pihak kami tidak bertanggungjawab atas pemahaman dan tafsiran individu lain yang membacanya. Sumber dan tarikh disediakan untuk memudahkan warganet merujuk sumber asal.
  2. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih

Leave a Comment