Sun. Sep 25th, 2022

Cerita Puteri Gunung Ledang sememangnya terkenal dan dicatatkan dalam kitab Melayu lama, antaranya Salalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah selain diperturunkan secara lisan daripada generasi lama ke generasi baharu. Terdapat banyak versi kisah puteri jelita berkenaan dan satu daripada versi itu bermula dengan kemangkatan permaisuri Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan kelapan dan terakhir memerintah Kerajaan Melaka dari tahun 1488 hingga 1511.

Akibat kematian permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan Hang Tuah yang sudah tua selain Sang Setia dan Tun Mamat melamar Puteri Gunung Ledang yang amat jelita. Ada versi mengatakan puteri itu bukanlah manusia sebaliknya orang bunian. Maka, rombongan peminangan dihantar dan selepas beberapa hari meredah hutan, akhirnya Tun Mamat bersama pengiring tiba di Gunung Ledang. Hang Tuah yang uzur gagal meneruskan pendakian manakala Sang Setia menemani Hang Tuah.

Selepas lama mendaki menelusuri hutan tebal, Tun Mamat tiba di taman nan indah di atas gunung. Mereka kemudian menemui ketua dayang kepada Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan hajat peminangan Sultan Melaka. Selepas lama menunggu jawapan, akhirnya datang seorang nenek bongkok menyampaikan syarat tujuh hantaran Puteri Gunung Ledang iaitu:

“Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang; jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka; tujuh dulang hati nyamuk; tujuh dulang hati kuman; tujuh tempayan air mata anak dara; tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda Melaka.”

Tun Mamat terkejut mendengar syarat yang mustahil dipenuhi itu. Beliau kemudian turun menemui Hang Tuah dan menceritakan hal berkenaan.

Secara tersirat, Hang Tuah sedar peminangan Sultan ditolak secara kiasan oleh Puteri Gunung Ledang. Lalu akibat kecewa kerana gagal menyempurnakan titah, Hang Tuah enggan kembali ke istana dan menghilangkan diri dalam sungai.

Tun Mamat pulang menyampaikan syarat peminangan kepada Sultan Melaka. Tanpa memahami maksud tersirat di sebalik syarat hantaran, Sultan Mahmud mengerahkan seluruh rakyat menyediakan tuntutan supaya baginda dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Keadaan dalam negara menjadi kacau-bilau apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak penduduk turut dirampas.

Lebih zalim, kalangan gadis dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lain dikerah mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya walhal pinang muda tidak berair. Selepas bertahun-tahun, akhirnya semua hantaran berjaya disediakan kecuali satu, iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad.

Sultan Mahmud diceritakan tidak sampai hati untuk membunuh anakandanya yang masih kecil tetapi hasutan nafsu menyebabkan baginda tidak mempedulikan apa-apa lagi. Lantas dada kecil Raja Ahmad cuba ditikam. Bagaimanapun, ketika keris hampir menembusi dada kanak-kanak itu, tiba-tiba Puteri Gunung Ledang menjelma di hadapan Sultan.

Puteri itu menzahirkan kekecewaannya terhadap Sultan Mahmud yang sanggup menindas rakyat dan menumpahkan darah zuriatnya sendiri kerana tergila-gilakan wanita yang tidak pernah dikenali. Puteri Gunung Ledang menjelaskan beliau menolak pinangan Sultan Mahmud dan rentetan kejadian itu akhirnya menginsafkan baginda.

Sehingga kini, ramai pihak tertanya-tanya di manakah letaknya jambatan emas dan perak yang kononnya sudah dibina. Melewati masa, tiada kesan tinggalan jambatan ditemui melainkan dalam kisah legenda semata-mata.

Thenang My
Facebook : https://web.facebook.com/ThenangMy/
Telegram: https://t.me/komplotthenangco
Instagram: Thenang.co

Ruangan Iklan 
Tak tahu trade forex, mari kami bantu. Copytrade forex : https://t.me/Mfcopytradefb

 

 

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *