Tue. Sep 20th, 2022

Indonesia hari ini memang antara jiran terapat Malaysia, dengan ramai rakyat kita bekerja dan tinggal di sana, begitu juga sebaliknya. Namun dari 20 Jan 1963 hingga 11 Ogos 1966, Malaysia dan Indonesia telah berbalah dalam ‘perang’ yang tidak diisytiharkan, digelar Konfrontasi. Kebanyakan pertempuran berlaku di sempadan Sabah dan Sarawak, walaupun ada juga yang dilihat di Semenanjung. Pertempuran berskala kecil dan lazimnya berlaku di kawasan hutan, namun jumlah kematian tetap agak tinggi yang dianggarkan 700 orang.

Ketika Malaysia pertama kali dibentuk pada 1963, dua negara jiran, Filipina dan Indonesia, lantang membantahnya. Indonesia ketika itu boleh dianggap kuasa besar di Asia Tenggara dengan kejayaannya mengusir penjajah Belanda ketika Revolusi Nasional Indonesia. Selepas itu, Indonesia turut menuntut Belanda melepaskan kawalannya terhadap Guinea barat yang akhirnya dilakukan kuasa Eropah itu selepas tunduk kepada desakan antarabangsa pada 1962. Namun, dalam pada semua ini sedang berlaku, ekonomi Indonesia terjejas dan presidennya, Sukarno, mencari cara untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah dihadapi.

Pada 1962, pemberontakan berlaku di Brunei yang kemudian ditumpaskan pihak berkuasa British; kejadian itu sebenarnya dibiayai dan disokong kerajaan Sukarno. Kerajaan Indonesia mengesyaki pembentukan Malaysia sebenarnya kaedah penjajahan baharu untuk mengekalkan kuasa Britain di Asia Tenggara. Ada yang mencadangkan kewujudan Malaysia turut mengganggu perancangannya sendiri untuk menyatukan Malaya serta Borneo di bawah pemerintahan Indonesia. Susulan itu, pada 20 Jan 1963, kerajaan Indonesia menerbitkan deklarasi Konfrontasi yang mengutuk pembentukan Malaysia.

Walaupun rakyat Malaysia lebih selesa memikirkan negara ini kurang terpengaruh dengan Perang Dingin, sebaliknya dapat dilihat ketika Konfrontasi.Malaysia banyak mendapat sokongan United Kingdom, negara Komanwel lain dan Amerika Syarikat, manakala Indonesia menerima senjata dari Kesatuan Soviet. Mujurlah, tidak seperti perang proksi lain yang lebih teruk seperti Perang Korea dan Perang Vietnam, Konfrontasi tidak melibatkan serangan tentera besar-besaran. Sebaliknya, konflik kecil dicetuskan skuad pasukan khas Indonesia yang menyelinap masuk ke Sabah dan Sarawak dari Kalimantan.

Ada juga masanya tentera Indonesia menyeberang Selat Melaka untuk melaksanakan operasi di Malaysia Barat. Penyusupan dan serangan pertama direkodkan pada 12 April 1963, apabila sebuah balai polis di pekan Tebedu yang terletak di sempadan, diserang dan ditawan tentera Indonesia. Selain serangan kecil-kecilan, pihak berkuasa Indonesia cuba mencetuskan ketegangan etnik di Malaysia dengan menghasut kesangsian antara kumpulan etnik berbeza di Borneo.

Satu peristiwa pahit yang tidak dapat dilupai dalam Sejarah Tentera Darat ialah Peristiwa Kalabakan yang berlaku pada 29 Dis 1963.  Dalam peristiwa ini, satu Pos Sementara Tentera di Kalabakan, Tawau Sabah dengan kekuatan satu platun di bawah perintah Mej Zainal Abidin bin Haji Yaacob dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang ketika mereka sedang menunaikan sembahyang Maghrib di bangunan madrasah.  Walaupun dalam keadaan tidak tersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksanya berundur.  Serangan itu mengorbankan 7 orang anggota platun tersebut, termasuk Mej Zainal Abidin dan mencederkan 16 yang lain.

Di Semenanjung pula banyak peristiwa  berlaku di kawasan Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Labis dalam negeri Johor.  Di kawasan ini angkatan musuh telah menyusup masuk melalui pantai.  Mereka juga dapat masuk melalui udara dengan payung terjun di Labis pada 1 Sep 1964.  Semua penyusupan ini dapat dipatahkan oleh Tentera Darat dalam beberapa hari sahaja kerana pihak musuh langsung tidak dapat sokongan atau bantuan rakyat tempatan.  Setelah menyedari hakikat ini dan berikutan desakan politik Presiden Sukarno menamatkan Konfrantasi terhadap Malaysia dalam tahun 1965.

Kejatuhan Sukarno memainkan peranan penting menamatkan pertempuran yang tiada hala tuju itu, dan beliau digantikan dengan Suharto pada 1966. Mujur Suharto tidak berminat meneruskan polisi Sukarno, dan rundingan damai dimulakan pada Mei 1966 yang berakhir dengan perjanjian yang diratifikasikan pada 11 Ogos 1966.

Thenang My

 

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *