Siapakah Melayu?

Post 34: Sejarah Dan Tamadun Bangsa Melayu

Wilayah yang dikatakan sebagai Asia Tenggara ini merangkumi Negara-negara yang hari ini dikenali sebagai Myanmar, Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura. Dari segi fizikalnya ia terdiri daripada dua kawasan yang berbeza, iaitu tanah besar dan kepulauan. Namun, pada satu ketika dahulu, sebelum munculnya Negara-negara moden itu, Asia Tenggara sering menjadi entiti yang dikuasai oleh sebuah kerajaan atau empayar yang muncul di kawasan ini. Ketika Funan menjadi kuat hampir seluruh Indo-China dan semenanjung merupakan jajahannya. Ketika Sriwijaya berkuasa seluruh kepulauan dan semenanjung adalah wilyahnya, begitu juga ketika Majapahit berada pada zaman kegemilangannya. Pendeknya siapa kuat, wilayah yang sama akan menjadi jajahannya. Kekuasaan kerajaan-kerajaan ini bukan hanya keatas daratannya bahkan lautnya sekali. Ketika itu Selat Melaka, Selat Sunda, Laut Jawa malah laut China Selatan bukan merupakan perbatasan. Laut dan selat itu merupakan lebuh raya yang digunakan untuk menghubungi kawasan-kawasan yang bertaburan itu.

Justeru itu ketika berkembangnya tamadun di kawasan ini, tidak banyak perbezaan yang dapat dilihat antara tamadun yang berkembang di kawasan tanah besar dengan yang di kepulauan. Perkembangan berjalan serentak, malah ia pengaruh mempengaruhi. Ketika tamadun utama dunia di barat dan timur mula hubung-menghubungi antara satu dengan yang lain, wilayah Asia Tenggara mendapat banyak manfaat daripadanya. Kedudukannya di tengah-tengah perjalanan di antara tamadun-tamadun utama India dan Parsi di barat dengan tamadun China di timur telah memperkayakan tamadunnya yang sedia ada. Ilmu, kepercayaan dan budaya dari wilayah-wilayah yang tinggi tamadunnya itu telah meresap masuk ke kawasan ini dan diterima oleh penduduk tempatan dengan baik. Justeru itu pengaruh India, Parsi dan China jelas kelihatan dalam budaya penduduk Asia Tenggara.

Akan tetapi siapakah mereka yang menghuni wilayah ini pada peringkat awal itu? Kajian menunjukkan bahawa mereka itu adalah daripada ras Melayu-Polinesia. Mereka merupakan subras Indonesiod-Mologoid yang merupakan penghuni utama kawasan ini hari ini. Sebelum orang Thai dan Khmer memasuki wilayah Thailand dan Kemboja wilayah-wilayah pesisir Indo-China dan selatan Thailand itu dihuni oleh ras Melayu-Polinesia, begitu juga di kepulauan. Mereka terdiri daripada puak Melayu, Cam, Batak, Lampung, Sunda, Jawa, Bugis-Makasar dan beberapa puak kecil yang lain. Puak-puak inilah yang kemudian telah membangunkan empayar-empayar besar yang telah menguasai wilayah ini, sepeti empayar Sriwijaya oleh orang (suku) Melayu dan Majapahit oleh orang (suku) Jawa.

Walaupun sebelum kedatangan pengaruh tamadun besar dari barat dan timur itu telah wujud tamadun dan kepercayaan tersendiri di kawasan ini, akan tetapi kemudiannya pengaruh tamadun dari luar itu jelas mendominasi tamadun ras Melayu khususnya dari sudut kepercayaan. Justeru kerana itu kelihatan hampir seluruh bangsa Melayu dipengaruhi oleh budaya India hingga wujud satu istillah yang dikenali sebagai pengindiaan Asia Tenggara. Apa yang dimaksudkan dengan pengindiaan Asia Tenggara ini ialah penyebaran pengaruh kepercayaan dan tamadun dari India iaitu Hindu dan Buddha di kawasan ini. Kelihatan orang Melayu menerima kepercayaan-kepercayaan itu dengan baik malah telah mensinkretiskannya dengan kepercayaan tempatan. Dengan itu kelihatannya bahawa kawasan ini seolah-olah sebahagian daripada India itu sendiri, bezanya cuma kawasan ini merupakan kawasan kepulauan. Justeru itu juga para orientalis pada peringkat awal gemar memanggilnya sebagai Indian Archipelago (Kepulauan India) sedangkan ia sangat jauh berbeza khususnya dari segi ras.

Ketika kerajaan Majapahit dari Jawa sampai ke kemuncak kegemilangannya, mereka telah menguasai hampir seluruh kepulauan ini dan beberapa bahagian tanah besar. Justeru itu dalam Negarakartagama, Prapanca menamakan kawasan atau wilayah kekuasaan Majapahit di luar Jawa ini sebagai Nusatara yang bermaksud pulau-pulau luar atau daerah-daerah luar. Nama ini kekal hingga kini sebagai rujukan kepada kawasan Kepulauan Asia Tenggara dan secara sengaja atau tidak, kawasan inilah kawasan utama tempat perkumpulan ras Melayu-Polinesia itu kini sehingga ada pula yang memanggilnya sebagai Kepulauan Melayu.

Bangsa Melayu

Siapakah yang dikatakan sebagai orang Melayu ini? Tidak ada definisi yang jelas telah dikemukakan bagi menjelaskan siapa yang dapat digolongkan ke dalam bangsa Melayu. Ariffin Omar dalam bukunya Bangsa Melayu; Malay Concept of Democracy and Community 1945-50 tidak dapat memberikan satu garis panduan yang jelas tentang siapa yang boleh digolongkan ke dalam bangsa Melayu itu. Apa yang dikatakannya hanyalah pada masa kebangkitan semangat kebangsaan Melayu pada awal abad ke-20 Masihi yang lalu, orang Melayu menganggap diri mereka sebagai orang Melayu tulen menolak golongan peranakan sama ada peranakan India atau Arab sebagai bangsa Melayu. Malah terdapat golongan yang mempersoalkan apakah mereka (golongan peranakan) itu sebenarnya pemimpin Melayu? (Ariffin Omar; 1993:14-16)

R.O Winstedt dalam bukunya The Malay, A Cultural History, cuba menjelaskan siapakah yang dikatakan orang Melayu dan dari mana asal mereka. Namun, masih terdapat banyak kelemahan dalam definisinya. Dalam peristilahan suku Melayu di Sumatera, Lah Husny mengatakan bahawa;

“ Suku bangsa Melayu pesisir Sumatera Timur berdiam di Propinsi Sumatera utara bahagian Timur. Daerah menjulur dari dataran pantai ke barat hingga sampai ke dataran berbukit-bukit mulai dari kabupaten Aceh Timur, Langkat, Delu Serdang,Asahan sampai dengan daerah Labuhan Batu, sepanjang 280km dari barat laut ke tenggara.

Yang dimaksudkan dengan suku Melayu itu ialah golongan bangsa yang menyatukan dirinya dalam perbauran ikatan perkahwainan antara suku bangsa serta memakai adat resam dan bahasa Melayu secara sedar dan berlanjutan”

Jelasnya orang Melayu tidak tertumpu ke dalam sesebuah Negara bangsa atau nation state. Tidak ada sempadan fizikal bagi bangsa ini. Seperti kata J.Crawfurd, mereka menghuni separuh daripada Pulau Sumatera, termasuk seluruh pantai timur dan sebahagian daripada pantai barat pulau itu. Mereka juga menghuni di sekitar Pulau Borneo (Kalimantan) dan merupakan seluruh penduduk Semenanjung Tanah Melayu, kecuali orang Aslinya (J.Crawfurd; 1971:249). Crawfurd juga mengatakan bahawa dalam kumpulan bangsa Melayu itu terdapat juga ramai yang bukan daripada keturunan Melayu tulen, akan tetapi telah menerima pakai bahasa, adat resam dan agama orang Melayu dan akhirnya setelah masa berlalu tidak dapat dibezakan lagi daripada orang Melayu sebenar (J.Crawfuurd; 1971:250)

Apa yang dikatakan oleh Crawfurd ini mungkin agak tepat kerana Tun Seri Lanang, penyusun kitab Sejarah Melayu yang terkenal itu sendiri sambil mengaku dirinya berbangsa Melayu juga mengaku bahawa beliau adala keturunan Mani Purindam, seorang pedagang keturunan India yang datang ke Melaka dalam zaman Sultan Muhammad Syah. Beliau mencatatkan;

“ Setelah fakir mendengar demikian, jadi beratlah atas anggota faqir alladzi huwa murakkabun ‘ala ‘I-jahl Tun Muhammad namanya, Tun Seri Lanang timang-timangannya, Paduka Raja gelarannya Bendahara, anak orang Kaya Paduka Raja, cucu Bendahara Seri Maharaja, cicit Bendahara Tun Nara Wangsa, piut Bendahara Seri Maharaja anak Seri Nara Diraja Tun Ali, anak baginda Mani Purindam, qaddaa ‘illahu Sirrahum, Melayu bangsanya dari Bukit Siguntang Mahameru, Malakat negerinya, batu Sawar daru ‘I-salam” (W.G Shellaber(ed);1982:2).”

Namun, dalam tulisan ini, pengertian bangsa Melayu itu adalah lebih luas lagi daripada apa yang dibincangkan di atas tadi. Perkataan bangsa itu lebih membawa pengertiasan ras (ras melayu). Ras Melayu merangkumi seluruh kelompok manusia daripada ras Melayu-Polinesia.

Alright guys, sampai disini sahaja perkongsian kami buku Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu yang ditulis oleh Ahmad Jelani Halimi. Buku ini telah dicetak pada tahun 2018 oleh Utusan Publication & Distributor Kuala Lumpur

Seperti biasa, jangan lupa lontarkan pandangan korang dan share ya.

Salam thenang.

Leave a Comment