Fri. May 13th, 2022

Seperti juga halnya dengan Salasilah Melayu dan Bugis, Taufat al-Nafis dan Hikayat Raja-Raja Pasai, kitab Sejarah Melayu tidak boleh dilihat dalam konteks ‘sejarah’ hari ini. Kitab-kitab ini menggunakan pelbagai sumber termasuk mitos dan legenda bagi meriwayatkan sejarah. Ada kalanya sukar diterima insiden atau episod yang digambarkan sebagai sejarah. Tetapi bahan-bahan yang dianggap tidak objektif dan tepat ini punya peranannya yang tersendiri. Oleh sebab itu kitab Sejarah Melayu dikategorikan sebagai historiografi Melayu.

Dalam Sejarah Melayu, salah seorang daripada keturunan Iskandar Zulkarnaen bernama Sang Sapurba mengahwini Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang. Perkahwinan inilah yang memulakan ‘sumpahan’ raja-rakyat, di mana raja tidak boleh menzalimi rakyat dan rakyat tidak boleh menderhakai raja. Persetiaan inilah yang diguna pakai dalam konteks kesetiaan pemerintah dengan yang diperintah sehingga ke hari ini.

Sejarah Melayu memancarkan nilai, pandangan dunia dan psyche orang Melayu. Terlalu banyak peristiwa di dalamnya yang memberikan bayangan bagaimana legitimasi raja diperkukuh melalui mitos dan legenda. Terlalu juga terdapat banyak cerita penganiayaan yang dilakukan ke atas rakyat. Juga cerita tentang gagalnya orang Melayu menghormati kepandaian dan kecerdikan seperti yang berlaku pada budak yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak.

Lihat sahajalah makna kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dalam Sejarah Melayu. Berbeza dengan Hikayat Hang Tuah, teman Hang Tuah yang menderhaka adalah Hang Kasturi. Pengabdian Hang Tuah mutlak terhadap rajanya. Orang Melayu pada masa itu tidak ada pilihan melainkan bersetia pada rajanya. Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan malapetaka luar biasa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Sang Rajuna Tapa yang belot di Singapura kerana membuka gerbang untuk kemasukan tentera Betara Majapahit, dia dan isterinya menjadi batu dan beras di rumahnya menjadi tanah.

Terlalu banyak kisah dalam Sejarah Melayu yang hebat dan luar biasa, malah menjadi potensi bahan filem dan drama TV. Badang merupakan Hercules Melayu dengan kekuatannya. Semerluki, panglima Bugis yang bersumpah tidak akan ke Tanah Melayu sekiranya batu yang dicampakkan ke laut, timbul. Tun Jana Khatib dengan keilmuan yang hebat lalu dicemburui raja. Tun Kudu harus menyerah dirinya pada Tun Ali bagi membolehkan adiknya Tun Perak menjadi bendahara. Sultan Muzafir Shah pernah dibuang menjadi nelayan. Raja China menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka. Jangan lupa kisah pengkhianat Raja Mendeliar dan Si Kitul yang menyebabkan kehancuran Melaka.

Sejarah Melayu juga memuatkan kisah Bendahara Seri Wak Raja yang membunuh diri kerana berasa malu apabila pintu ditutup orang sewaktu beliau hendak masuk menghadap. Bendahara ini ayah kepada Tun Kudu dan Tun Perak. Juga kisah Sultan Alauddin Shah yang turun padang melihat rakyatnya di waktu malam.

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *