Sang Kelembai atau Sang Gedembai begitu sinonim dalam cerita-cerita rakyat dalam masyarakat melayu yang sering diceritakan mempunyai kuasa sakti dan kebolehannya menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika dia sedang marah. Bagi generasi hari ini, cerita-cerita rakyat mungkin tidak popular. Namun bagi generasi 90-an ke bawah yang belum terdedah kepada dunia internet, cerita-cerita rakyat begini amat popular.
Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu. Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain. Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.
Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu. Ada yang mengatakan sang kelembai ini memiliki badan yang besar dan tinggi sehingga dipercayai mampu sampai ke Terengganu dari Kuala Tahan dengan hanya beberapa langkah.
Sang Kelembai dikatakan mempunyai seorang anak lelaki, namun anaknya telah meninggal dunia akibat mabuk selepas memakan buah perah. Kerana terlalu sedih dan marah dengan kematian anak lelaki kesayangannya, maka Sang Kelembai dikatakan mengamuk sebelum mencabut semua pokok buah perah di hutan Tembeling dan kononnya sebab itulah pokok perah tidak banyak terdapat di hutan berkenaan