Mon. Sep 19th, 2022

Varian Delta yang pertama kali dikesan di India pada Oktober 2020, mula merebak ke Amerika Syarikat pada Februari 2021. Pada Jun lalu, ia sudah dikesan di 62 negara dan dalam tempoh dua minggu, ia sudah merebak ke 80 negara. Berdasarkan angka yang dicatatkan pada awal bulan ini, varian Delta sudah dikesan di 104 negara. Terdapat beberapa negara lagi masih belum mengesahkan sama ada berlakunya jangkitan daripada varian Delta di negara mereka. Ini bermakna varian ini memang sangat pantas merebak dan boleh mengakibatkan kelumpuhan sistem kesihatan negara.

Sifat virus ini berubah. Dengan varian Delta ini, dalam tempoh masa 15 saat boleh merebak dan jangkitan melalui udara. Varian ini memiliki nama lain iaitu B.1.617.2. Memetik laporan beberapa jurnal kesihatan, kadar penularan varian Delta jika dibandingkan varian Alpha telah meningkat sekitar 30 peratus hingga 100 peratus. Hasil kajian buat masa ini membuktikan adanya perubahan kecil pada protein spike yang meningkatkan kemampuan varian ini untuk mengikat reseptor ACE2 yang digunakannya untuk masuk ke sel manusia. Kajian lain menunjukkan varian ini mengalami mutasi, yang meningkatkan kemampuannya untuk bercantum dengan sel manusia. Jika virus dapat mendekati dan bercantum dengan lebih mudah, virus itu mungkin dapat menjangkiti lebih banyak sel manusia, yang mungkin membuatnya lebih mudah untuk menyerang tahap imuniti badan.

Berdasarkan laporan portal Yale Medicine, terdapat lima perkara perlu diketahui mengenai varian Delta.

Pertama, varian Delta lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain dengan pantas.

Kedua, mereka yang tidak dilindungi vaksin berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 daripada varian ini. Kajian terkini dari United Kingdom mendapati kanak-kanak dan orang dewasa berusia kurang 50 tahun adalah 2.5 kali lebih terdedah dengan varian ini.

Ketiga, varian ini boleh menyebabkan ‘wabak bersifat hiperlokal’ di mana terdapat kawasan yang mencatatkan kadar vaksinasi tinggi sedangkan ada kawasan lain merekodkan kadar vaksinasi rendah.

Keempat, masih terlalu banyak perkara yang tidak diketahui mengenai varian ini kerana ia bermutasi. Maklumat yang diketahui hari ini mungkin tidak lagi boleh diguna pakai pada bulan seterusnya kerana berlaku perubahan.

Kelima, seganas mana pun varian ini menakutkan manusia, vaksinasi masih lagi cara terbaik untuk melindungi diri.

Thenang My

By Thenangmy

Thenangmy adalah blog bagi jenama Thenang.co. Dimana kami disini mengupaskan cerita-cerita yang rare bagi pembaca semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *